Saturday, May 4

Hikmah (Short Novel)



Aku bukanlah anak orang berada. Aku hidup dalam suasana keluarga orang kebiasaan, menetap di rumah papan di sebuah kampung, tak jauh dari Ibu Kota. Walid kontraktor dan ibu pula meniaga kecil-kecilan. Aku ada adik perempuan, Safiyyah Naura -- dan dia pelajar cemerlang di sekolahnya. Aku? Nama aku Din, Akmaluddin Gadaffi. Hmm. Aku macam budak lelaki biasa, normal dan tipikal. Tak ada yang istimewa.

Ibu dan walid selalu inginkan yang terbaik buat anak-anak. Terutama aku. Aku anak sulung. Jadi tanggungjawab menjaga keluarga waktu walid tiada di rumah, jatuh ke bahu aku. Aku baru habis bersekolah di tingkatan lima. 

Ibu pernah tanya aku, "kau nak ambik jurusan apa nanti?" Ibu tanya, ibu jugalah yang jawab. Ibu suruh aku jadi doktor. Tapi mustahil. Subjek Biologi aku gred C+. Aku pun memang benci subjek Sains. Walid pula suruh aku jadi engineer. Aku tak yakin aku mampu kabulkan permintaan mereka berdua. Keputusan SPM aku tak gah mana. Cukup-cukup makan. 

Nak sambung belajar di universiti pun ikut peluang dan rezeki. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, tak adalah. Tapi aku tahu ibu dan walid tetap mahu aku jejakkan kaki ke menara gading. Bukan aku taknak. Serius, aku bukan taknak sambung belajar. Cuma aku.......

Aku nak jadi pereka fesyen. 

Mungkin orang ingat aku ada naluri dan sifat pondan. Aku bukan pondan. Aku masih normal. Aku masih  lelaki sejati dan berpijak di bumi yang nyata. Ya, aku mahu jadi pereka fesyen. Tapi kalau cita-cita ini aku khabarkan ke orang tua aku, mahu berbirat dan lebam-lebam badan ni. 

Sejak pertama kali aku menonton Project Runway di 8TV, aku jatuh hati. Program realiti TV itu memang menarik minat aku untuk mereka dan melukis baju. Koleksi baju rekaan aku masih tersimpan rapi di dalam diari harian aku. Dengan kemudahan internet yang walid sediakan di rumah, aku selalu meluangkan masa google gambar-gambar fesyen terkini. Aku juga kerap google gambar-gambar fashionista termahsyur. Aku paling tertarik dengan penampilan dan keunikan gaya Lady Gaga dan Nicki Minaj. 

Bukan setakat fesyen di Hollywood, malah aku selalu google gambar-gambar busana muslimah tak kiralah di Malaysia atau negara lain. Semua cantik-cantik belaka. Gaya tudung masakini memang membuatkan aku kagum. Fesyen ikon seperti Hana Tajima, Dian Pelangi dan Yuna menjadi ikutan remaja perempuan sekarang yang gilakan trend. Mereka membuatkan aku mahu belajar lebih mendalam tentang rekaan fesyen wanita berhijab.


Tapi bagi aku wanita Islam itu boleh berfesyen dan tidak bertabarruj. Wanita Islam itu boleh berfesyen tapi bukanlah secara berlebihan dan tidak mendedahkan bahagian aurat yang wajib ditutup. Bukan ke hijab itu bermaksud menutup aurat keseluruhan? Bila wanita memahami hijab itu sebagai kain tudung yang hanya untuk menutup kepala. Sebenarnya ianya silap. Walaupun aku lelaki sejati, tapi aku faham konsep hijab yang disalah ertikan beberapa golongan wanita. 

Aku mahu mengubah mentaliti mereka. Aku mahu mencipta sesuatu yang baru, trendy, mengikut arus fesyen masakini tapi masih tampak sopan. 

Tapi macam mana mahu mula, kalau diri aku sendiri tak punya kekuatan untuk memberitahu ibu dan walid tentang cita-cita aku ini. Aku buntu. Kadang aku patah semangat bila ibu bersungguh-sungguh menyuruh aku jadi peguam pula. Aku tak mahu. Aku mahu kejar cita-cita aku. Cita-cita aku yang satu iaitu menjadi pereka fesyen terunggul di Malaysia seterusnya terkenal di mata dunia. 

Aku selalu berangan-angan. Aku dapat bersalaman dengan pereka fesyen dunia, Domenico Dolce dan Stefano Gabbana. Mereka adalah pereka fesyen terulung dunia dari Itali. Vera Wang pula adalah salah seorang pereka fesyen yang dikenali dalam industri perkahwinan. Gaun-gaun pengantin yang direka semuanya menggunakan fabrik-fabrik mewah. 


Rekaan fesyen khusus buat wanita oleh Vera Wang sangat sofistikated dan anggun. Aku mahu jadi seperti mereka. Terkenal di serata dunia. Sambil tangan menongkat dagu, mulut aku ternganga, aku tersentak dari lamunan. Perlahan aku menepuk-nepuk pipi lalu berkata pada diri sendiri, "Mustahil semua tu. Tak mungkin." 

* * * *

"Ibu, permohonan UPU dah dibuka." Aku bangun dari kerusi, mendapatkan ibu lalu duduk bersila di hadapan dia yang sedang khusyuk menumbuk cili api untuk dibuat sambal kicap. Ibu selalu buat makan petang. Semalam pisang goreng, harini cempedak goreng pula. 

"Din mohon je jurusan yang bersesuaian dengan keputusan Din. Kalau boleh, macam ibu cakap semalam, ibu nak kamu jadi peguam. Tapi keputusan SPM kamu biasa-biasa je. Jadi, ibu pun tak tahu lah Din. Kamu nak mohon apa?" Ibu memandang tepat ke muka aku, menunggu jawapan.

"Kalau Din nak mohon...." Aku gugup seketika.

"Din, nak mohon apa? Din nak jadi guru? arkitek? atau Din nak mohon jadi askar?" Suara ibu makin serius. Membuatkan aku tak yakin ibu akan bersetuju dengan keputusan aku.

"Ermm... Din nak mohon fesyen, boleh tak ibu?" Lantas aku mengalihkan pandangan.

"Kamu nak mohon apa? Fesyen?" Ibu berhenti menumbuk cili setelah mendengar konfesi aku.

"Emm.. aah ibu. Din nak mohon fesyen." Aku mengulang semula ayat aku.

"Hmm.... fesyen tu reka-reka baju macam dalam tv tu eh? Kau nak jadi perempuan ke?"

"Tak ibu... tak semestinya ambik fesyen kena perempuan. Ramai pereka fesyen lelaki dalam Malaysia, apa lagi dekat luar negara."

"Semua lelaki tu lembut. Kau tak tengok ke dalam tv tu? Nampak je lelaki sejati, tapi suka pada kaum sejenis. Ibu taknak kau ambik benda-benda macam tu. Nanti ibu bincang dengan walid."

Aku terus bangkit meninggalkan ibu lalu masuk ke bilik. Menahan air mata. Aku cuma mahu kejar impian aku. Kenapa ibu tak nampak aku akan bagi dia dan walid kesenangan bila aku dah bekerja nanti. Takdalah kena tinggal dalam rumah papan dan naik kereta proton saga yang hampir serupa dengan besi buruk. 

* * * *

Malam itu, aku terdengar perbualan walid dan ibu. 

"Anak awak nak ambik fesyen. Saya cakap dekat dia yang ambik fesyen tu semua lelaki lembut."

"Hah? Apa bendalah budak tu fikirkan. Kalau ambik fesyen, dah keluar dari universiti nanti nak kerja jadi apa? Silap silap kerja mekanik je nanti."

"Apalah abang ni. Doakan anak kita macam tu. Saya nak dia jadi peguam. Sebenarnya saya tak kisah dia nak ambik jurusan apa pun. Tapi kalau fesyen, memang langkah mayat saya dulu bang. Saya taknak anak saya tu jauh tersasar."

"Hmm... abang pun tak tahulah. Tapi abang tengok anak Pak Tam ambik akaun, sekarang dah jadi akauntan pun. Belajar dekat luar negara. Balik Malaysia terus hadiahkan Pak Tam kereta besar. Bukanlah saya ni nakkan sangat anak kita tu balas jasa kita, tapi saya nak dia hidup senang. Saya taknak dia hidup macam kita ni. Nak cari duit pun susah. Kita ni bukan makin muda. Awak pun dah berkedut saya tengok."

"Ishh. Abang ni main-main pulak tengah serius kan." Ibu yang sedang mengurut walid, menepuk bahunya.

"Alaaaa. Saya main-main je pun, awak berkedut macam mana pun, awak tahu kan saya sayang awak?" Walid mencuit hidung ibu.

Manja-manja pulak ibu dengan walid ni. Aku merangkak perlahan masuk ke bilik dan duduk di atas katil. Hm. Besok mesti ibu akan bincangkan soal ini. Aku tak mahu jadi akauntan. Aku mahu kejar impian aku. Kenapa ibu dengan walid susah sangat nak faham isi hati aku. 

* * * * 
Pagi keesokkannya, ibu masuk ke bilik lalu duduk di hujung katil. Aku bangun, menggosok-gosok mata. 

"Walid suruh Din ambik akaun. Itu keputusan walid." Ibu memegang peha aku. Cuba menenangkan hati aku. 

"Tapi.... Din kan tak suka matematik. Ibu pun tahu."

"Memang ibu tahu kamu tak suka kira-kira. Kenapa Din awal-awal putus asa? Din tahukan hidup ni bukan mudah. Kalau Din nak tahu hidup ni perlukan cabaran. Din kena suka apa yang Din tak suka. Macam pekerjaan walid sekarang. Walid taknak jadi kontraktor, siapa sahajalah dalam dunia ni nak jadi kontraktor binaan. Tapi kenapa walid teruskan juga kerja sebagai kontraktor? Sebab walid tahu, walid ada tanggungjawab bagi nafkah pada ibu dan kamu dua beradik. Walid belajar untuk suka pekerjaan walid. Sekarang sikit demi sikit, rezeki keluarga kita Alhamdulillah dimurahkan Allah." Ibu menerangkan panjang lebar. Aku terpaksa turut kata ibu dan walid demi kebahagiaan mereka. 

Lupakanlah impian. Berikan ibu dan walid kegembiraan.

Keputusan permohonan kemasukan ke universiti telah dikeluarkan. Alhamdulillah, aku berjaya mendapat tempat di dalam UITM. Meskipun aku rasa ada lagi manusia yang layak. Tapi aku tetap bersyukur. Peluang diberikan pada aku. Beruntung!

* * * *

Awal permulaan semester aku masih di awang-awangan. Result semester satu aku agak teruk, pointer aku 2.23. Ibu dan walid kerisauan memikirkan aku yang semakin banyak berubah. Aku mula lupa siapa aku. Aku mula lupa dari mana asal aku. Aku semakin kerap keluar malam. Pernah satu kali, aku meninggi suara pada ibu lalu ditampar walid. Dua hari aku lari rumah, menetap di rumah rakan sekolej aku. 

Semester tiga, aku kembali ke pangkal jalan. Aku mula sedar tujuan aku ke mari. Bukan untuk bersuka ria. Bukan untuk bergembira. Tapi untuk belajar. Aku mempunyai misi untuk mendapatkan dekan semester ini. Namun, aku gagal subjek Management. Pointer aku 2.71, ada juga improvement walaupun gagal satu subjek.

Makin aku redha dengan pemberian Tuhan ini dan makin aku belajar, aku makin faham. Aku juga makin jatuh cinta dengan Accountancy. Aku sudah tidak melukis. Malah lukisan dan rekaan baju aku waktu aku di sekolah menengah telah lama aku buang. Aku semakin serius dalam pelajaran. Semakin aku tahu misi hidup aku. Aku gagal, aku bangkit bersemangat. Aku jatuh, aku bangun dengan matlamat. Matlamat yang baru.

Aku meneruskan pengajian aku sehingga ke peringkat Ijazah dan seterusnya Master. 

Sekarang semuanya boleh diterima akal. Semuanya make sense. Semua yang ibu dan arwah walid pernah nasihatkan pada aku satu ketika dahulu sudah menjadi realiti. Aku bekerja sebagai akauntan di salah satu syarikat terbesar di Malaysia. Hidup aku berubah. Walaupun Allah sudah mengambil walid dari hidup aku, tapi aku tahu dia berbangga dengan kejayaan aku. Ibu sudah tidak berniaga lagi. Safiyyah meneruskan Ijazah kedoktorannya di Cairo. 

Ibu dan walid pernah berpesan, jangan lupa asal usul kamu, jaga maruah ibu dan walid dan jadi anak yang soleh. Ibu dan walid tak pernah pesan, jadi anak yang kaya dan balas jasa kami yang sudah membesarkan kamu. Tidak pernah sama sekali. Ibu dan walid, redha. Allah SWT juga redha. 

Aku percaya, setiap benda dalam hidup ini bukan mudah untuk kita gapai. Bukan mudah untuk kita kecap tanpa halangan dan rintangan. Gagal sekali, gagal dua kali, gagal tiga kali, kenapa perlu risau? Itu lumrah hidup. Kita betul-betul gagal bila kita tak bangkit! Kita betul gagal bila kita tak mencuba sehabis baik! Kita betul-betul gagal bila kita taknak berusaha dan awal-awal lagi sudah berputus asa. Hidup ini tak mudah. Hidup ini takkan pernah mudah macam makan kacang. 

Tapi hidup akan dipermudahkan bila kita yakin pada Allah serta tak putus-putus berdoa meminta petunjuk dariNya. Allah itu Maha Mendengar. Allah itu Maha Mengasihani. 

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Have faith, restart. 








No comments:

Post a Comment